Ulasan buku. Outliers oleh Malcolm Gladwell


Saya tidak suka membaca buku dengan dengan isi yang ambiguous atau terlalu umum. Sebagai contoh, sekiranya anda ingin jadi kaya, mestilah rajin bekerja. atau jika ingin pandai, mesti rajin belajar. Saya rasa perkara ini terlalu umum dan kita tidak perlu seorang pakar yang menjual buku dengan harga puluhan ringgit mengajar kita perkara yang kita sendiri tahu berdasarkaan logik akal sahaja

Buku yang bagus mengandungi contoh-contoh dan kajian kes yang menarik dan terbukti. Dalam hal ini Malcolm Gladwell merupakan seorang penulis yang bukan sahaja berjaya mengupas subjek yang beliau kaji dengan berjaya malam menulis dengan gaya yang sungguh enak dibaca dan mudah difahami

Buku ini merupakan karya susulan beliau setelah menulis The Tipping Point dan Blink. Secara peribadi,  Outliers  merupakan buku kegemaran saya dan ini terbukti dari kulit buku yang telah hancur kerana dibaca berulang kali. 

Berkenaan dengan tajuk buku ini, Outliers ialah istilah saintifik untuk menerangkan perkara-perkara atau fenomena yang terletak di luar pengalaman biasa. Bagaimana seseorang itu boleh berjaya walaupun melalui banyak halangan. Adakah ini disebabkan takdir, nasib atau kejadian yang berlaku secara rawak semata-mata?

Mengikut penulis kejayaan bukanlan sesuatu yang berlaku secara rawak atau berdasarkan takdir semata-mata. Ia adalah hasil dari satu set peristiwa dan peluang yang boleh diagak hasilnya. Di dalam buku ini di bentangkan banyak contoh-contoh bagaimana setiap peristiwa di dalam kehidupan seseorang yang berjaya itu dipengaruhi oleh banyak faktor yang membawa kepada kejayaan.

Sebagai contoh, ramai yang mengatakan bahawa Bill Gates, pengasas syarikat Microsoft berjaya kerana beliau adalah seorang genius. Mengikut kajian Malcolm Gladwell, semua perkara di dalam hidup Bill Gates mempengaruhi kejayaan beliau, seperti latar belakang keluarga, pendidikan awal, kawan-kawan  dan universiti yang beliau sertai. Malah genius itu sendiri tidak begitu penting jika tidak disertakan dengan latihan yang berterusan, seperti juga Bill Gates yang telah mula mempelajari dan sentiasa menggunakan komputer untuk menguasaai bahasa dan membuat perisian komputer. Ini menunjukkan, untuk berjaya, banyak perkara yang perlu kita lihat dan kaji. Secara realistik, tidak ada perkara yang mudah dan senang dalam dunia ini dan inilah yang terkandung di dalam buku Outliers oleh Malcolm Gladwell ini! Buku yang sangat bagus dan sarat dengan pengajaran.

Ulasan Buku. Ulysses oleh James Joyce




Jika ditanya berapa ramai yang sudah membaca buku ini, tentu jawapannya ramai. Tetapi jika ditanya berapa ramai yang pernah membaca edisi asal buku ini sehingga habis, tentu jawapannya tidak ramai.

Saya mula mengenali nama James Joyce semasa saya mula timbul minat membaca novel beberapa tahun selepas tamat sekolah menengah. Ia popular kerana dilabelkan sebagai antara novel paling penting abad ini. Bila ke kedai buku saya mila mencari novel ini tetapi masyaallah tebalnya bukan main. Jadi sebagai permulaan saya cuba mengenali beliau dari karya yang nipis dan kurang menakutkan A Portrait of the Artist as a Young Man.

Saya adalah seorang pembaca yang lambat. Suka membaca berulangkali dan tidak gemar menanda muka surat terakhir dibaca untuk rujukan akan datang. Saya gemar melompat-lompat muka surat dan mengelat lalu terus ke muka akhir untuk mencari akhir cerita.

Jadi, ia mengambil masa agak lama untuk saya menghabiskan buku A Portrait of the Artist as a Young Man. Novel ini membosankan. Tidak menarik atau engaging. Oleh kerana ia merupakan biografi James Joyce sendiri, tentu novel beliau yang lain terutama novel epik beliau Ulysses juga membosankan.

Pada suatu hari semasa menonton siaran TV, saya tertarik dengan siri lawatan Pria Viswalingam ke Ireland dalam rancangan A Fork in the Road. Penyampaian anak kelahiran Malaysia ini memang saya senangi sejak mula-mula saya mengikuti rancangan ini. Timbul kembali minat saya untuk mencari novel epik James Joyce ini.

Hari ini, setelah hampir sepuluh tahun saya membeli novel ini saya masih lagi belum habis membacanya. Kisahnya mudah, tentang perjalanan seorang pemuda disekitar bandar Dublin pada 16 Jun 1904. Inilah akibatnya bila membeli edisi yang diambil dari teks asal tahun 1922, yang dicampur dengan ulasan dan nota tambahan menjadikan jumlah keseluruhan mukasurat ialah 980.

Novel ini memang sukar untuk dibaca kerana penulisnya sendiri bukan seorang yang teliti. Samalah macam saya. Mungkin 10 tahun nanti baru saya selesai membaca buku epik ini. Barulah sesuai, tak epiklah kalau baca buku tebal-tebal satu dua hari dah habis, ye tak?

ads