Mindset - Kunci untuk memahami perkara sekeliling kita dan membentuk masa depan yang cemerlang

Setia kali datangnya tahun baru, soalan yang sering diajukan kepada kita ialah apakah azam untuk tahun 2014 ini? Walaupun tidak ditanya, ramai agaknya diantara kita yang secara sedar atau tidak telah telah pun mempunyai azam masing-masing yang perlu dicapai sebelum berakhirnya tahun 2014 ini nanti.
Tidak dinafikan, mempunyai azam adalah seperti menetapkan key performance index atau KPI diri sendiri sebagai panduan atau sasaran yang perlu dicapai, tidak kira sama ada sebagai pekerja atau sebagai individu. Namun sebelum kita membina KPI, perkara yang perlu kita periksa atau perbetulkan ialah mindset kita sendiri.
Dalam karya klasik John Naisbit berjudul Mindsets!, beliau ada memperincikan dengan jelas perihal mindset dan kesannya terhadap cara manusia berfikir tentang masa hadapan. Menurut beliau lagi, dengan memahami mindset, ia akan dapat memperbetulkan cara kita berfikir dan melihat masa hadapan.
Apa sebenarnya yang dimaksudkan sebagai mindset? Secara mudah, ia boleh diterjemahkan sebagai tetapan minda, sikap atau pendapat seseorang itu tentang sesuatu perkara. Menurut Naisbit, mindset adalah seperti bintang-bintang yang membantu nakhoda kapal untuk sampai ke destinasi. Seperti mana yang kita ketahui, terdapat pelbagai informasi dan maklumat yang sedia untuk digunapakai disekeliling kita yang ada kalanya membantu tetapi ada juga yang salah dan boleh menyesatkan.
Oleh itu adalah penting untuk seseorang mempunyai mindset yang betul kerana jika tidak ia akan membawa kepada musibah, bukannya membawa faedah!
Naishbit di dalam bukunya telah membahagikan perbincangan beliau mengenai mindset ini kepada 11 bab tetapi di sini, saya akan membincangkan beberapa bab sahaja untuk panduan bersama.
Perkara pertama yang menarik di dalam penulisan Naisbit ialah beliau mengajak pembaca untuk melihat masa hadapan seperti sebuah picture puzzle iaitu sebuah permainan yang memerlukan individu menyusun kepingan gambar yang telah dibahagikan kepada bahagian-bahagian kecil untuk menghasilkan satu gambar yang besar.
Satu soalan yang menarik telah dilontarkan oleh Naisbit, iaitu, “Adakah sesiapa pernah menyelesaikan picture puzzle dengan menyusun setiap keping puzzle dalam satu garisan lurus?”
Tentulah jawapanya tidak. Mengapa? Dari kecil sehinggalah kita dewasa dan seterusnya mati, setiap peristiwa yang berlaku tidak berlaku dengan mudah dan seratus peratus sepertimana yang kita mahukan. Untuk mendapatkan kerja sebagai doktor misalnya, pelajar perlulah terlebih dahulu berjaya memasuki kelas aliran sains tulen. Seterusnya, beliau perlu mendapat keputusan SPM yang cemerlang dan menyambung pelajar di bidang kedoktoran. Bagi seorang pelajar cemerlang sekalipun, pasti ada masalah yang akan menganggu gugat masa depan beliau dan perlu diatasi dengan berhemah dan tabah. Sebagai contoh masalah keluarga, kewangan dan sebagainya.
Oleh itu, lihatlah masa depan dengan lebih realistik dimana banyak halangan yang perlu ditempuhi sebelum seseorang itu boleh mencapai cita-cita yang beliau impikan. Jangan sesekali berfikiran bahawa kehidupan ini mudah kerana pecahan puzzle itu tidak akan bersusun dengan sedirinya menjadi gambar jika anda tidak menyusunnya.
Seterusnya Naisbit mengesorkan kepada seseorang individu itu supaya jangan berfikir terlalu jauh kehadapan. Adakah wajar pernyataan ini, terutamanya bagi pelajar-pelajar sekolah? Adakah bercita-cita tinggi itu satu kesalahan?
Cerita di televisyen atau pawagam yang paling menggamit imaginasi individu terutamanya kanak-kanak ialah cerita berbentuk futuristik dan fantasi. Sebagai contoh watak Iron Man, seorang jutawan berjaya mereka baju besi yang membolehkan beliau terbang dan mempertahankan dunia dari ancaman musuh. Untuk memakainya amat mudah dan pantas dan ia dilengkapi segala senjata merbahaya – laser, bom dan sebagainya.
Semasa saya di darjah satu, persepsi saya terhadap masa hadapan iaitu 20 atau 30 tahun akan datang ialah sebuah dunia di mana kereta tidak berjalan di jalanraya tetapi terbang diudara dan manusia memerlukan tong oksigen untuk bernafas. Mungkin saya banyak dipengaruhi kartun The Jetson atau membaca komik Marvels tetapi hakikatnya, bumi masih lagi sama dan tidak banyak berubah kini berbanding semasa saya di darjah satu.
Menanam cita-cita yang tinggi adalah amat digalakkan tetapi mestilah realistik dan boleh dicapai di dalam jangkamasa kehidupan seseorang itu. Jika individu mempunyai angan-angan yang terlalu tinggi, dikhuatiri beliau akan terperangkap dalam dunia beliau sendiri dan tidak bertindak berdasarkan sasaran yang realistik. Ada baiknya seseorang itu bercita-cita untuk menjadi ahli sains atau akademik tersohor dari ingin menjadi orang yang pertama tinggal di Pluto!
Perkara terakhir yang menarik dari penulisan Naisbit ialah jangan tambah melainkan anda melepaskan sesuatu benda terlebih dahulu. Perkara ini menarik kerana di dalam agama sendiri kita di didik supaya tidak tamak dan bermuhasabah diri apabila membuat sebarang keputusan.
Di sini saya ingin membawa satu contoh iaitu Ali, seorang pelajar dari kelas tingkatan 4 Cekap. Sebagai seorang yang bijak, petah berbicara, mempunyai lontaran suara yang jelas, beliau terpilih untuk mewakili sekolah ke pertandingan berpidato. Berbekalkan bakat dan latihan yang diberikan guru, beliau berjaya menjadi johan di peringkat daerah seterusnya terpilih untuk bertanding di peringkat negeri.
Masalah yang dihadapi Ali ialah selain dari berpidato, beliau juga seorang pemain hoki sekolah yang berbakat. Pada tahun lepas, beliau terpilih mewakili daerah. Oleh kerana jadual pertandingan hoki dan berpidato bertembung pada tahun 2014, jurulatih hoki beliau telah memberi kata dua kepada Ali; pilih antara hoki atau berpidato.
Apakah keputusan yang wajar diambil oleh Ali di dalam masalah ini? Di sini kita dapat lihat bahawa jelas sekali Ali merupakan pelajar yang berbakat di dalam kedua-dua bidang tetapi mampukah beliau cemerlang di dalam kedua-duanya sekali dan memberi perhatian terhadap peperiksaan SPM yang akan tiba kelak?
Sebagai permain squash nombor satu dunia yang baru-baru ini telah menjadi johan squah terbuka Australia untuk kali ke 8 berturut-turut, Datuk Nicole David juga terpaksa membuat keputusan yang berat seperti ini di dalam hidup beliau. Bukan senang mahu menjadi pemain terhebat dunia, beliau terpaksa melupakan zaman remaja dengan jadual latihan dan perlawanan yang sibuk.
Oleh itu, Ali perlu membuat keputusan untuk memilih bidang yang beliau paling minati dan yang boleh membawa kejayaan yang paling cemerlang kepada beliau. Dengan itu, beliau bukan sahaja boleh memberi perhatian kepada satu aktiviti kokurikulum sahaja tetapi beliau juga mempunyai banyak masa untuk membuat persediaan untuk perperiksaan SPM yang akan datang.
Ramai yang beranggapan atau mempunyai mindset bahawa lagi banyak bidang yang kita ceburi, lagi banyak kejayaan yang akan kita kecapi kelak. Realitinya ialah kebanyakkan orang yang berjaya adalah mereka yang fokus kepada satu bidang sahaja dan melalukannya dengan bersungguh-sungguh
Sempena tahun baru 2014 ini, apa kata kita perbetulkan mindset kita kerana ia adalah panduan kita untuk mencapai apa yang kita telah rancangkan.

ads