Kisan wartawan, akhbar & Implikasi Penggabungan NST-Utusan

Saya dibesarkan dengan novel-novel menarik seperti 'Patah Sayap Terbang Jua' dan 'Tembok Tidak Tinggi' karya A Samad Ismail dan Hujan Pagi oleh A samad Said. Sebagai orang surat khabar, cerita mereka cukup pekat dengan tema kemerdekaan. Menulis bukan kerana wang. Cukup untuk tanggung keluarga dan diri sendiri tapi tidak sesekali untuk jual negara sendiri. Sesekali terpelosok ke penjara Changi. Masihkan begitu hari ini. Masa berlalu tetapi tugas wartawan masih sama. Untuk menulis. Melaporkan. Yang benar, pastinya. Menarik bila saya baca tulisan Kadir Jasin hari ini, dengan penghujungnya berbunyi,


Akhir sekali (dan mungkin yang terpenting) ialah hakikat bahawa sesiapa juga yang muncul sebagai “pemilik mutakhir” (ultimate owner) syarikat baru ini akan menjadi maharaja (emperor) dunia media massa Malaysia. Kuasa politik dan korporatnya “menakutkan”.

Berikut adalah sajak tulisan Usman Awang semasa mogok Utusan tahun 1961

Duri dan Api

Oleh: Usman Awang.
(Catatan pertama Pemogokan Utusan Melayu)

Kawan-kawanku yang dikasihi
semalam kita bertemu kembali memadu
ketika matari tersangkut di bumbung Utusan
kita tidak menerima apa yang ada
yang dinyanyikan dari hati berani
dengan tangan erat pada keyakinan terpahat.

Lagu kita telah mulai terpancar
ah, anak-anak manisnya menjenguk keluar
di luar udara basah dalam matari bersinar
semua antara kita lagunya seluruh sedar.

Apakah ini derita diri dalam mimpi
atau kenyataan pahit menjepit
pada lena yang membunuh kehidupan manusia
sama-sama kita rangkul menguji diri.

Kawan-kawanku yang dikasihi
di belakang duri di depan api
kita tidak bisa undur lagi
duri dan api, tajam panasnya kita hadapi.

Semalam dan hari ini kita diukir sejarah
di mana air mata tidak akan menitik tumpah
sebab kebulatan ikrar tak akan berubah
apa saja kita tidak akan menyerah.

1961

No comments:

ads